AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mencuri tumpuan sidang DUN Perak apabila memegang ayam segar ketika berbahas sebagai ‘gimik’ ketika menyentuh mengenai isu harga barangan terutama ayam.
Muhamad Arafat berkata, ayam yang dibawa masuk ke dalam persidangan itu sebagai ‘hadiah’ kepada Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria yang juga ADUN Semanggol.
Beliau mendakwa mendakwa, sepanjang dewan bersidang, tiada tindakan yang diambil oleh Razman dalam menangani isu berkenaan di peringkat negeri.
“Hadiah kepada (ADUN) Gunung Semanggol sebab resit ini, ayam ini dari Gunung Semanggol, saya beli dekat sana. Maknanya dalam resit ini sebelum 7 hari bulan, harga ayam di Semanggol sendiri sudah mencecah RM10 lebih… lepas 7 hari bulan saya difahamkan keluar satu skim harga maksima Keluarga Malaysia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna RM9.30.
“Apa yang berlaku di Gunung Semanggol sendiri sangat menyusahkan rakyat, merunsingkan rakyat soal harga barang. Saya terpaksa bawa ayam ini kerana sejak minggu lepas sampai sekarang, satu tindakan tidak diambil oleh Exco.
“Kita tak nampak, apa Exco telah lakukan? Ada tak pernah buat pertemuan dialog bersama dengan peruncit-peruncit? Ada tak buat pertemuan dialog bersama pengusaha-pengusaha? Ada tak pertemuan dialong bersama pemborong-pemborong untuk melihat di mana masalah sebenarnya?” soal Muhamad Arafat lapor Astro Awani.
Menjawab satu soalan ketika sidang medianya, Muhamad Arafat berkata,
Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hanya bertanggungjawab mengawal harga barangan di pasaran sedangkan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan pula mempunyai peranan lebih besar dalam isu ini.
Beliau berkata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Razman seharusnya mengambil tindakan drastik seperti memperkenalkan subsidi di peringkat pembekal atau mendapatkan pandangan daripada semua peringkat rantaian bekalan makanan dalam menyelesaikan isu kenaikan harga barang.
Dalam masa sama, Muhamad Arafat juga meminta agar Razman tidak dilihat seolah-olah mahu mensabotaj Menteri Besar Perak, sebaliknya, membantu kerajaan negeri dalam menangani soal berkenaan demi kepentingan rakyat.
Leave a Reply