Bekalan cukup, tidak perlu kurangkan eksport ke Singapura

Oleh RAHIMI MOHAMAD

KERAJAAN tidak perlu mengurangkan apatah lagi menghentikan eksport barangan keperluan harian ke Singapura ekoran peningkatan harga yang dilaporkan berlaku memandangkan bekalan di negara ini mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr. Chong Fat Full berkata, faktor kenaikan harga yang berlaku bukan kerana kekurangan bekalan asas sebaliknya harga kos yang meningkat.

Malah, aktiviti eksport ke Singapura juga perlu terus dilakukan bagi mematuhi kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Kita perlu faham bahawa kenaikan harga barangan yang berlaku ketika ini bukan disebabkan kurangnya bekalan di pasaran tetapi kerana kenaikan harga kos seperti baja dan racun.

“Buktinya kita boleh lihat kesemua barangan itu ada dijual di pasaran tempatan dan mudah diperolehi, cuma harganya sahaja dijual agak mahal berbanding biasa.

“Oleh itu tiada keperluan mengurangkan eksport ke Singapura, namun jika benar berlaku kekurangan barangan keperluan, sudah pasti kita akan utamakan keperluan tempatan dahulu,” katanya selepas melawat Projek Aquagro di Kota Masai, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Fat Full, kerajaan juga tidak sewajarnya terlalu mencampuri urusan penjualan barangan sehingga menyebabkan golongan peniaga tidak mendapat sebarang keuntungan.

“Buat masa ini kerajaan tidak masuk campur kerana golongan peniaga perlu diberi ruang untuk mendapat keuntungan, jika tiada keuntungan dikhuatiri tidak ada mana-mana pihak yang akan berniaga.

“Jadi kerajaan hanya akan masuk campur apabila perlu sahaja bagi memastikan situasi menang-menang kepada semua pihak,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *