lapan amang

TNB rugi RM220,521 lombong bitcoin guna elektrik curi

Oleh RAHIMI MOHAMAD

MESKIPUN dikatakan mata wang digital atau bitcoin bernilai berkali-kali ganda lebih tinggi daripada wang fizikal sesetengah negara, namun kegiatan premis yang menjadi pusat melombong wang kripto itu dengan menggunakan elektrik curi terus berlaku.

Bagaimanapun, nasib sebuah pusat perlombongan di Taman Berjaya, Skudai di Johor Bahru tidak dapat bertahan lama apabila polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu premis itu, awal pagi tadi.

Seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis turut ditahan dalam operasi terbabit yang dilakukan kira-kira pukul 2 pagi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis turut merampas 170 buah mesin melombong bitcoin dan sebuah mesin pembekal tenaga yang dipercayai menggunakan sambungan elektrik haram untuk beroperasi.

“Berdasarkan siasatan dibuat, premis berkenaan tidak berdaftar dengan TNB dan sambungan bekalan elektrik dibuat adalah secara terus daripada kotak TNB ke premis berkenaan.

“Anggaran jumlah kerugian terhadap TNB adalah RM73,507 sebulan di mana dalam tempoh tiga bulan sejak premis berkenaan beroperasi, jumlah keseluruhan kerugian TNB adalah RM220,521,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayob Khan berkata, suspek yang ditahan berperanan sebagai penyelia premis tersebut dan menerima gaji sebanyak RM3,000 sebulan.

“Kegiatan membuat sambungan haram secara ‘bypass meter’ boleh mendatangkan risiko kebakaran, kerosakan dan gangguan bekalan elektrik pada premis berdekatan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan melakukan khianat terhadap harta benda milik TNB, malah TNB turut mahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990,” ujarnya.

Sementara itu, Ayob Khan memberitahu sejak Januari 2021 hingga kini, sebanyak 33 serbuan melibatkan premis perlombongan bitcoin haram dengan sembilan suspek telah berjaya ditahan.

“Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 2,673 mesin melombong bitcoin bernilai RM2 juta telah dirampas.

“Polis Johor terus komited untuk membanteras kegiatan mencuri bekalan elektrik secara haram dan memohon kerjasama orang awam untuk menyampaikan sebarang maklumat berhubung kegiatan berkenaan di kawasan mereka,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *