ronnie liu mahathir mohamad

Ronnie kecam pemimpin DAP masih ‘ampu’ Mahathir

PEMIMPIN DAP, Ronnie Liu mendedahkan, terdapat sekumpulan pemimpin parti itu yang masih ‘setia membuta tuli’ terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun bekas Perdana Menteri itu menjadi punca yang menyebabkan rejim Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Dewan Undanmgan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu menyalahkan Dr Mahathir ekoran keengganannya menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau berharap agar perang mulut antara Dr Mahathir dan Tony Pua dapat membuka mata ahli-ahli DAP yang menyanjung tinggi Ahli Parlimen Langkawi tersebut.

“Saya rasa selepas pertelingkahan antara Tun (Mahathir) dan Tony ini, semua orang DAP yang masih sayangkan Dr Mahathir mungkin mula berfikiran berbeza.

“Selepas melihat bagaimana Dr Mahathir menghentam Tony secara terbuka, mereka kini mungkin sedar apa yang saya katakan tentang Mahathir selama ini adalah benar.

“Mereka ini mungkin mula menjauhkan diri daripada Dr Mahathir. Saya rasa tiada lagi swafoto,” katanya kepada Malaysiakini.

Ronnie menambah, semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, beliau berulang kali bersuara menentang Mahathir kerana mengabaikan janji-janji untuk melakukan perubahan dan mewujudkan permusuhan dalam gabungan parti itu demi kepentingan dirinya sendiri.

“Saya buat bising ketika itu, tapi semuanya sia-sia. Ini takkan berlaku jika sesetengah mereka menyertai saya untuk bersuara.

“Kini sudah terlambat untuk sedar bahawa Dr Mahathir adalah tidak bagus untuk DAP dan tidak bagus untuk PH. Sudah terlambat,” keluhnya.

Beliau hampir berdepan tindakan tatatertib apabila lantang mengkritik Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri kali kedua.

“Saya diberi tiga surat tunjuk sebab berturut-turut kerana mengkritik Dr Mahathir atau bersuara menentang kesilapan yang dilakukan oleh PH.

“Jika tidak kerana sokongan besar akar umbi DAP, saya sudah disingkirkan,” jelasnya.

Ronnie berkata, beberapa rakannya daripada parti itu telah ‘dibutakan dan terpesona’ dengan kedudukan mereka agar bersikap tunduk dalam kerajaan.

Beliau menambah, apabila kerajaan PH tumbang, mereka enggan mengakui bahawa mereka telah ditipu dan Perdana Menteri yang mereka pilih sendiri telah ‘menjual’ gabungan itu.

“Sesetengah orang di luar sana beritahu saya bahawa Dr Mahathir berjaya mendiamkan kepimpinan PH dengan menggunakan taktik dengan menggula-gulakan mereka.

“Mereka kata Dr Mahathir selalu mengugut untuk memecat menteri dan timbalan menteri untuk menutup mulut mereka. Mungkin ada kebenarannya,” katanya.

Minggu lalu perang mulut tercetus antara Dr Mahathir dan Tony yang juga Ahli Parlimen Damansara berhubung buku terbaru bekas Perdana Menteri itu bertajuk “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”.

Petikan dalam buku itu menceritakan perihal seorang pembantu yang didakwa angkuh dan berkelakuan seperti menteri semasa menjadi setiausaha politik kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dr Mahathir juga mengatakan beliau menerima aduan daripada kalangan ahli perniagaan mengenai keangkuhan Tony.

Tony menyiarkan tiga kenyataan sebagai menjawab tuduhan Dr Mahathir, dengan mengatakan beliau dinilai secara tidak adil berdasarkan persepsi yang dicipta oleh kalangan ahli perniagaan yang mempunyai kepentingan dan sentimen politik yang dicetuskan dalam Bersatu dan UMNO.

Perang mulut antara kedua-duanya semakin sengit sejak beberapa hari lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *