‘Perlu gagasan penyatuan lebih besar selain MN, PN’ – Tuan Ibrahim

TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan, negara memerlukan gagasan penyatuan yang lebih besar daripada Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menjamin kestabilan negara dan mengukuhkan ikatan ummah.

“Cadangan ini sebagai penyelesaian kemelut kecil yang timbul membabitkan rakan-rakan kerjasamanya ketika ini dan perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar dan dilebarkan sehingga ke Sabah dan Sarawak.

“Kita lihat kepada kerangka yang besar. Itu salah satu antara pandangan saya, saya lihat bahawa kalau MN, PN, mungkin kita perlukan satu gagasan,” katanya di Kuala Terengganu.

Beliau berkata, gagasan sebelum ini hanya berlaku dalam konteks semenanjung sambil menghormati parti-parti di Sarawak dan Sabah yang mendukung kerajaan Pusat untuk kestabilan tetapi lebih baik sekiranya gagasan itu merangkumi lebih besar daripada gagasan sedia ada.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas menghormati apa jua keputusan UMNO mengenai hala tuju dan kerjasama kedua-dua parti berkenaan dalam MN yang bakal ditentukan pada Perhimpunan Agung UMNO.

Jelasnya lagi, beliau yakin keputusan itu telah dibuat oleh perwakilan UMNO sebelum ini dan mereka mahu mengekalkan MN.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *