wushu garfik polis Malaysia australia

Pemandu bas ditahan kerana memandu melulu, dipercayai di bawah pengaruh syabu

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG pemandu bas henti-henti berusia 44 tahun ditahan polis setelah klip video memaparkan dia memandu secara melulu, dirakam oleh orang awam baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.40 pagi, Ahad lalu dengan bas itu pada mulanya dikesan melanggar lampu isyarat merah di simpang tiga Batu 8, Lunas sebelum dipandu secara laju dan gopoh melalui pekan Padang Serai hingga ke Sungai Karangan.

Katanya, orang awam yang mengekori dan merakam pergerakan bas tersebut cuba memberhentikan bas itu namun pemandunya enggan berbuat demikian malah bergerak ke tengah dan tepi jalan hingga melanggar cermin sisi sebuah kereta yang diletak di tepi jalan.

“Bas tersebut berjaya ditahan di depan Balai Polis Sungai Karangan. Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenih Meth.

“Semakan juga mendapati suspek dikehendaki polis kerana kesalahan tidak hadir ke Mahkamah Johor Bahru atas pertuduhan menagih dadah di bawah Seskyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, ketika kejadian tiada penumpang menaiki bas tersebut yang beroperasi bagi laluan Sungai Petani ke Baling.

“Pemandu itu dipercayai berada di bawah pengaruh syabu ketika memandu bas tersebut. Semakan juga mendapati dia memiliki 51 rekod saman kesalahan trafik dengan lima daripadanya berstatus waran tangkap.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu telah bekerja di syarikat bas berkenaan sejak lebih dua tahun lalu dan memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.

Sazalee memaklumkan, mahkamah telah membenarkan suspek untuk direman selama empat hari dengan bas tersebut turut disita sementara untuk siasatan lanjut.

“Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebh lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

“Selain itu siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a), ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *