Oleh RIZQI ZABIDI
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan percubaan menyeludup kira-kira 695 kilogram daun ketum di kedudukan 5.0 batu nautika, timur Pulau Tanjung Dendang dekat Langkawi, awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kejayaan itu merupakan hasil maklumat risikan dan intipan berterusan kegiatan penyeludupan tersebut yang dilihat kian aktif di kawasan perairan berhampiran sempadan negara jiran.
Katanya, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot yang bergerak dalam keadaan gelap dan mencurigakan kira-kira pukul 3.30 pagi.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot tersebut bertindak memecut laju ke arah perairan sempadan Malaysia-Thailand dan meloloskan diri dengan cara membuang sejumlah objek ke laut.
“Pemeriksaan dilakukan terhadap objek dibuang menemukan sebanyak 57 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat kira-kira 695 kilogram.
“Kesemua daun ketum itu dianggarkan bernilai RM125,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, harga pasaran yang tinggi di negara jiran sehingga mencecah RM180 sekilogram dilihat sebagai faktor pendorong kepada aktiviti ini.

“Selain itu, upah tinggi diterima ‘transporter’ iaitu dianggarkan mencecah antara RM350 hingga RM800 bergantung kepada berat muatan dilihat menjadi pendorong kepada kegiatan penyeludupan ini,” katanya.
Tambahnya, semua hasil rampasan dibawa ke jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain.
“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Leave a Reply