Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
HASIL daripada 2.3 juta saman trafik menerusi diskaun 80 peratus yang akan diperoleh nanti disaran digunakan untuk meningkatkan fasiliti di semua premis Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh negara.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, saranan itu sebagai insentif untuk anggota pasukan tersebut dan diharapkan hasil itu tidak dimasukkan ke dalam akaun hasil negara.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor berkata, ini kerana kutipan saman kesalahan trafik bukan pendapatan yang diunjurkan dalam Belanjawan Negara.
“Jadi atas semangat 100 Hari aspirasi Keluarga Malaysia, kutipan kali ini disaran dibelanjakan untuk kebaikan anggota PDRM yang sentiasa komited dan kental menjadi sebahagian daripada pasukan barisan hadapan negara.
“Sebagai agensi penguat kuasa, kita sedia maklum, premis PDRM dibina dan diurus berasingan sekali gus anggota pasukan ini tidak menikmati fasiliti sebagaimana petugas jabatan mahupun agensi Persekutuan lain yang lazimnya beroperasi di bawah satu bumbung seperti Wisma Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Solihan berkata, saranan supaya hasil kutipan saman dibelanjakan untuk membantu meningkatkan fasiliti PDRM itu sebenarnya kecil berbanding peruntukan tahunan menerusi Belanjawan 2022.
Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang itu berkata, insentif kecil itu tetap memberi makna besar yang tersendiri kepada pasukan tersebut.
Jelasnya, penambahbaikan fasiliti tempat kerja adalah satu proses berterusan yang tidak dinafikan mampu memberi kesan kepada peningkatan kualiti dan prestasi jentera kerajaan termasuk PDRM dalam memberi khidmat khususnya dalam menguatkuasakan undang-undang.
Bersatu Johor berharap, saranan itu tidak disalahtafsirkan dan sewajarnya menjadi isu, mencetuskan polemik atau dipolitikkan oleh mana-mana tetapi diberikan atas sifatnya sebagai insentif serta penghargaan kepada PDRM.
Pihak PDRM katanya, pasti mengalu-alukan saranan tersebut dan pemberian insentif kerajaan ini pasti dibalas dengan komitmen perkhidmatan yang lebih jitu oleh seluruh anggotanya.
Bermula 9 hingga semalam, sebanyak RM109 juta berjaya dikutip dan jumlah kutipan dijangka meningkat apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada Ahad memberitahu, tempoh pembayaran saman trafik dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
Leave a Reply