Hanya 20 saat, dua lelaki berjaya larikan jam tangan bernilai jutaan dolar

BAGAI babak dalam sebuah filem aksi, dua lelaki yang memecah masuk ke ruang pameran kereta mewah di Chicago, Amerika Syarikat berjaya mencuri sekurang-kurangnya lapan utas jam tangan berjenama mewah yang bernilai jutaan dolar dalam masa hanya 20 saat.

Rompakan tersebut berlaku di ruang pameran Gold Coast Auto Gallery yang mempamerkan kereta Bentley, Lamborghini dan Rolls-Royce.

Menerusi video berdurasi 21 saat yang dikongsikan MailOnline, dapat dilihat seorang daripada mereka berdiri di hadapan pintu sambil memegang sepucuk pistol, manakala seorang lagi memecahkan bekas pameran yang menempatkan jam tangan jenama mewah dan berjaya membawa lari sekurang-kurangnya lapan daripadanya.

Seramai 10 pelanggan termasuk kanak-kanak dilaporkan berada di dalam premis itu semasa kejadian pada petang Sabtu.

Pekerja-pekerja premis itu dilaporkan cuba mengejar dua perompak tersebut namun gagal menangkap mereka.

“Kami mengejar mereka di sepanjang jalan, namun mereka kemudiannya berpecah,” kata pemilik bersama bilik pameran tersebut, Joe Abbas.

Menurut laporan media tempatan, pemilik ruang pameran Gold Coast, Joe Perillo berkata, pemerintah dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan atau perniagaan tersebut akan meninggalkan bandar itu.

“Jika mereka tidak melakukan apa-apa mengenai perkara ini, mereka akan kehilangan banyak perniagaan.

“Mereka kehilangan Macy, Neiman Marcus dan mereka mungkin akan kehilangan ruang pameran ini,” katanya.

Perillo turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan keselamatan di ruang pameran tersebut dan merancang untuk memastikan pintu sentiasa berkunci walaupun semasa waktu perniagaan.

Tambahnya, perkhidmatan juga akan dilakukan melalui temu janji sahaja mulai sekarang.

Nilai dan model jam tangan yang dirompak bagaimanapun tidak didedahkan meskipun barangan tersebut adalah berkaitan kereta mewah yang dipamerkan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *