Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PEMAIN kelahiran Argentina, Gonzalo Cabrera tidak lagi akan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan Liga Malaysia musim depan apabila akan meninggalkan kelab itu.
Perkara itu diumumkan menerusi satu hantaran di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers, hari ini.
JDT mengesahkan tidak akan menyambung kontrak pemain sayap kiri pasukan itu, Gonzalo Cabrera bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) dan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.
Menerusi kenyataan itu, turut dimuat naik ucapan terima kasih kepada Cabrera atas jasanya sepanjang menyarung jersi Harimau Selatan sejak 2017.
“Ia pengalaman bersama yang akan sentiasa dikenang, memenangi pelbagai trofi dan menjaringkan begitu banyak gol untuk menjadi penjaring terbanyak kelab berkenaan.
“Cabrera menjaringkan 43 gol sepanjang bersama JDT dalam saingan Liga Super dan juga 66 gol dalam semua pertandingan menerusi 152 penampilan sejak musim 2017.
“Sudah tiba masanya untuk berpisah tapi ia penghormatan yang amat besar. Terima kasih sekali lagi untuk setiap detik yang indah dan kami ucapkan selamat maju jaya,” demikian menurut kenyataan itu.
Sepanjang kariernya bersama JDT, pemain kelahiran Argentina itu membantu pasukan muncul juara liga sejak 2017 hingga 2021 manakala memenangi Piala Sumbangsih dari 2018 hingga 2021.
Pemain lincah berusia 32 tahun itu turut membantu skuad Harimau Selatan muncul juara Piala Malaysia 2017 dan 2019.
Sebelum ini, nama Cabrera dicanang untuk dijadikan pemain naturalisasi bagi memperkuat skuad Harimau Malaya setelah berada di negara melebihi tempoh lima tahun.
Berita perpindahan Cabrera itu bakal membuka ruang buat pasukan untuk membawa masuk pemain import baharu bagi menguatkan jentera serangan namun belum ada sebarang perkembangan terkini mengenainya.
Leave a Reply