Tahan PATI

16 PATI Indonesia baru mendarat ditahan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

CUBAAN pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia masuk ke negara ini selepas mendarat di pantai Kampung Baru, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, malam tadi gagal apabila kehadiran mereka disedari penduduk setempat.

Penduduk yang melihat pegerakan mencurigakan itu kemudian menghubungi pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) mengenai kemasukan PATI di kampung tersebut pada pukul 8.15 malam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memberitahu, Tim rondaan motosikal dikerahkan membuat rondaan di sekitar kawasan itu bersama-sama Tim Quick Reaction Force (QRF) dan Tim Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Serbuan dilakukan sekitar pukul 8.55 malam tadi berjaya menahan sembilan PATI yang cuba masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

“Kemudian pada pukul 4.20 pagi tadi, kita mendapat maklumat daripada Pasukan Polis Marin mengenai tangkapan dua PATI di kawasan yang sama,” demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

Kemudian pada pukul 6.30 pagi, tim QRF berjaya membuat tangkapan lima lagi PATI yang merupakan saki baki daripada tangkapan yang pertama.

Pada pukul 4.20 pagi Pasukan Polis Marin memberkas dua PATI di kawasan yang sama

Tambah kenyataan itu, kesemua 16 PATI merupakan lelaki warga Indonesia berusia sekitar 17 hingga 56 tahun.

Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,827 melibatkan RM751, matawang Rupiah Indonesia IDR7,573,100 (RM2,234.10) bersama-sama lapan buah telefon bimbit bernilai RM2,762 serta jam tangan bernilai RM80.

Kesemua PATI katanya, ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan serta saringan Covid-19 dan didapati negatif, sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.

Laporan kejadian tersebut pula katanya, telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

“Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekitar kawasan tangkapan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *