PULAU PINANG tidak akan menguatkuasakan dasar baharu yang mewajibkan kedai kopi (kopitiam) dan restoran memohon lesen untuk menjual arak bermula pada 1 Januari depan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, dasar baharu itu jelas membebankan peniaga kedai kopi dan restoran yang sudah sedia terbeban dengan pandemik Covid-19 ketika ini.
Sehubungan itu katanya, para pengusaha kedai kopi dan restoran boleh meneruskan penjualan arak sama seperti sebelum ini tanpa perlu memohon apa-apa lesen tambahan.
“Malah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menyatakan dengan jelas pendirian kita pada mesyuarat Selasa lalu bersama pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mana kita tidak akan menguatkuasakan keputusan berkenaan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau projek Gurney Wharf di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Jagdeep mengulas mengenai kekeliruan berhubung arahan daripada JKDM yang mana semua pengusaha kedai kopi dan restoran perlu memohon lesen untuk menjual arak daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula 1 Januari depan.
Arahan itu mencetuskan rasa tidak puas hati pengusaha kedai kopi dan restoran yang mana mereka mendakwa perlu mengeluarkan kos sehingga RM1,300 bagi memohon lesen tersebut.
Berikutan itu juga, beberapa pihak khususnya parti DAP mengecam arahan tersebut dan mendesak Kementerian Kewangan menarik balik selain menggesa PBT di seluruh negara tidak melaksanakan syarat pelesenan baharu terbabit.
Dalam pada itu Jagdeep berkata, arahan terbaharu itu juga tidak selari dengan hasrat Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah meringankan beban rakyat yang masih terjejas ekoran pandemik Covid-19.
“Kita telah melakukan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan beban rakyat dalam mengharungi situasi pandemik ini, jadi mengapa pula peraturan yang jelas membebankan ini mahu dilaksanakan?” katanya.
Leave a Reply