Pelajar buli

Mara pandang serius, siasat salah laku pelajar MRSM-Mahdzir

PIHAK Majlis Amanah Rakyat (MARA) memandang serius berkaitan rakaman video kejadian buli melibatkan pelajar dikatakan berlaku di sebuah sekolah bawah kelolaan agensi itu di Perak.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihaknya maklum kejadian itu yang tular dalam Facebook dan Twitter.

Pihak Mara katanya, memandang serius isu tersebut dan akan melaksanakan siasatan terperinci terhadap video yang tular.

“Saya telah mengarahkan pihak pengurusan Mara untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mahdzir, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan Mara jika video yang tular adalah benar.

Pihak Mara juga tegas Mahdzir, tidak sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan salah laku yang menyalahi etika kemanusiaan.

“Selain tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan sebarang salah laku atau perbuatan yang menyalahi undang-undang, peraturan dan tata etika di mana-mana premis seliaan kami pada bila-bila masa,” katanya.

Video berdurasi 10 saat itu tular dalam media sosial memaparkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain dalam asrama yang dikatakan berlaku di sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, beliau sudah mengarahkan polis Kuala Kangsar menjalankan siasatan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *