
AHLI Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menasihati tiga lagi ahli Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak agar mengikut jejak langkah Datuk Ali Biju dan menarik diri.
Beliau berkata, mereka sepatutnya akur dengan persefahaman antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Persefahaman itu menyaksikan Bersatu tidak bertanding pada PRN Sarawak.
“Kita di peringkat parti mendengar nasihat Presiden dan beliau telah mengarahkan semua ahli parti supaya membantu serta menyokong calon-calon Gabungan Parti Sarawak,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia di Kampung Pichin, Serian hari ini.
Willie diminta mengulas tindakan Naib Pengerusi Bersatu Sarawak, Datuk Ali Biju semalam yang mengumumkan menarik diri daripada bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian sebagai calon Bebas dan berikrar memberi sokongan penuh kepada calon GPS iaitu Friday Belik.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, ahli Bersatu sepatutnya bekerjasama supaya wujud kesinambungan yang akan membawa kepada kestabilan politik bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat persekutuan.
“Dari segi demokrasi, hak mereka untuk bertanding tidak boleh dinafikan kerana mereka boleh letak jawatan dan bertanding sebagai calon Bebas… itu hak mereka… tetapi kita perlu melihat dari segi kerangka yang lebih besar dan gambaran yang lebih luas dalam senario politik pada masa hadapan,” katanya.
Difahamkan ahli Bersatu lain yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRN Sarawak ialah Siki Balarik di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga, Ricky Enteri (DUN Bawang Assan) dan Ismawi Muhammad (DUN Muara Tuang).
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak ditetapkan pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis dan pengundian pada 18 Dis. – BERNAMA
Leave a Reply