PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah hari ini menafikan laporan berita mengenai 19 ‘datuk bandar’ dari selatan Filipina didakwa terlibat dalam plot baharu untuk menawan negeri itu.
“Tak benar. Walaupun begitu kita (polis Sabah) akan tingkatkan keselamatan,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama pada Khamis.
Sebelum ini, akhbar melaporkan satu mesyuarat bagi membincangkan mengenai rancangan untuk menyerang Sabah dipercayai telah diadakan di selatan Filipina.
Akhbar itu yang memetik South China Morning Post menyatakan mesyuarat rahsia melibatkan 19 datuk bandar itu diadakan bagi membincangkan mengenai rancangan bagi merekrut 600 individu untuk menyerang negeri itu serta menghantar pengintip.
Menurut laporan media tersebut, difahamkan pertemuan itu diatur oleh pegawai kanan kerajaan tempatan di selatan Filipina.
Sementara itu di Lahad Datu, khabar angin berhubung plot rahsia dari selatan Filipina untuk menawan Sabah diterima perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sejak awal bulan ini.
Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad berkata, pihaknya cuba mendapatkan maklumat-maklumat tambahan serta pengesahan berhubung khabar angin itu daripada pihak keselamatan di Filipina.
“Khabar angin seumpama ini tersebar setiap kali pilihan raya di negara itu (Filipina) semakin hampir dan khabar angin ini dikhuatiri dijadikan plot propaganda untuk pilihan raya di sana dalam meraih undi,” katanya kepada Bernama.
Namun menurutnya, ESSCom tidak pernah mengambil ringan sebarang ancaman, malah setiap maklumat atau khabar angin yang diperoleh dianggap serius dan perlu disiasat.
“Ini menggambarkan komitmen sebenar pasukan keselamatan dalam memastikan kedaulatan Sabah tidak diganggu-gugat pihak luar yang berniat jahat menimbulkan kekacauan dan ketegangan di negeri ini,” katanya. – Bernama
Leave a Reply