TAN Sri Muhyiddin Yassin mengalu-alukan keputusan Datuk Ali Biju untuk menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri Krian pada Pilihan Raya Negeri Sarawak.
Presiden Bersatu itu berkata, keputusan Ali untuk tidak mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam yang lalu demi menghormati hubungan setiakawan yang telah terjalin antara parti tersebut dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah satu langkah yang amat terpuji.
‘’Bagi saya, pengorbanan yang dilakukan oleh Datuk Ali Biju adalah amat besar ertinya kepada persefahaman yang telah dicapai antara saya dan Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg dalam memperkukuhkan jalinan hubungan kerjasama antara Bersatu dan GPS di Sarawak.
‘’Ini termasuk persefahaman bahawa Perikatan Nasional yang diwakili oleh Bersatu akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 di Sarawak,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga mengalu-alukan sokongan Ali kepada calon-calon GPS yang bertanding di Krian, Kalaka dan Kabong yang kesemuanya berada di dalam kawasan Parlimen Saratok.
Terdahulu Ali mengumumkan menarik diri bagi memelihara muafakat serta memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional dan GPS.
Leave a Reply