Bot tunda

Maritim tahan dua bot dari Indonesia

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TINDAKAN dua bot tunda dari Batam, Indonesia yang tidak memaklumkan ketibaan dan tidak mempunyai kebenaran menunda daripada Pengarah Laut Malaysia membawa pada apabila ditahan semalam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menerusi Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan dua bot tunda itu yang disyaki melakukan operasi tanpa kebenaran pada jam 6 petang ketika menunda sebuah kapal tangki.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mereka melakukan kesalahan tersebut pada kedudukan 0.7 batu nautika tenggara Tanjung Langsat, dekat ini.

“Kedua-dua bot tunda terbabit yang berdaftar dari Batam, Indonesia dikendalikan oleh 13 kru warga Indonesia berumur antara 25 tahun hingga 47 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kedua-dua bot tunda terbabit tidak memaklumkan ketibaan dan tidak mempunyai kebenaran menunda daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semua kru berserta dua bot tunda terbabit ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Maritim Johor katanya, mengingatkan setiap kapal asing yang ingin memasuki perairan negeri Johor agar melaporkan ketibaan dan mendapatkan kebenaran sebelum menjalankan sebarang aktiviti bagi mengelakkan tindakan undang-undang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *