Arak tiruan RM1.2 juta dirampas PGA

Oleh RAHIMI MOHAMAD

ARAK seludup berjumlah RM1.2 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam susulan penahanan dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Treh, Muar, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, kedua-dua suspek yang berusia 29 tahun ditahan dalam Op Kontraban yang dilakukan pada pukul 11 pagi.

“Hasil siasatan mendapati suspek sudah menjalankan aktiviti penjualan arak tidak bercukai dengan menjadikan premis tersebut sebagai tempat memproses arak tidak bercukai.

“Dalam serbuan itu kita merampas dua tong biru mengandungi 200 liter (L) cecair pati arak, dua tong biru mengandungi 200L cecair tiruan, 35, 48 dan 80 kotak mengandungi 170 mililiter (ml), 350ml dan 700ml arak jenis Club 99,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dimin berkata, turut dirampas 110 dan 125 kotak mengandungi 375ml dan 750ml arak jenis Mcdowell’s selain 54 kotak mengandungi 350ml arak jenis Grand Royal.

Hasil siasatan mendapati premis berkenaan menjalankan kegiatan haram memproses arak tidak bercukai

Susulan serbuan tersebut katanya, PGA dipandu arah oleh suspek melakukan serbuan di Parit Kadir Darat, Bukit Pasir dan Parit Jamil, Parit Jawa di sini sebelum menemukan 14 tong biru mengandungi 200L cecair pati arak.

Katanya, menerusi tiga serbuan tersebut pihaknya merampas kamera litar tertutup (CCTV) selain 10 kenderaan termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lima lori selain satu fortlift.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan nilai arak tersebut RM1.2 juta manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan RM3.5 juta.

Siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 (kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak).

Dimin menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *