Remaja maut motosikal rempuh ‘backhoe’


Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG operator kilang maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah ‘backhoe’ di Jalan Baling menuju ke Weng dan Tanjung Pari, dekat Kampung Bandar di Baling, Kedah, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Muhamad Aiman Nor Hakim Rosidan, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15zr maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya, Muhmmad Aiman Shah Shukri pula cedera parah.

Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua remaja itu cuba memotong sebuah kereta ketika melalui jalan tersebut.

“Mereka cuba memotong kenderaan di hadapan namun tak lepas lalu masuk ke laluan bertentangan. Keadaan itu menyebabkan motosikal tersebut bertembung dengan jentera berat berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tersebut maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya pula mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat di sini, hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Baling bagi mendapatkan rawatan.

“Setakat ini kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *