Jangan lambat salur peruntukan kepada PMKS

Oleh RAHIMI MOHAMAD

PERUNTUKAN RM40 bilion yang diumumkan dalam Bajet 2022 untuk geran, jaminan dan ekuiti kepada semua perniagaan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) hingga syarikat senaraian awam perlu segera disalurkan.

Presiden Gabungan Persatuan Anak Negeri Malaysia (Gapan), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, peruntukan sebanyak itu tidak membawa erti sekiranya penyaluran bantuan tersebut lambat, berdepan birokrasi dan tidak sampai kepada golongan sasaran.

Katanya, Gapan yang terdiri daripada sembilan Persatuan Anak Negeri menegaskan sektor PMKS telah melalui suatu fasa yang amat sukar dalam meneruskan kehidupan perniagaan mereka.

Maka, Syed Hussein berkata, fasa pemulihan ini diharapkan dapat memberi peluang kedua kepada usahawan-usahawan di negara ini.

“Gapan mengalu-alukan peruntukan besar yang disediakan oleh kerajaan bagi memastikan PMKS di seluruh negara terbela apabila memasuki tempoh pemulihan ekonomi selepas negara dilanda pandemik.

“Ini adalah penting kepada PMKS untuk membantu mereka bangkit kembali dan bersaing di pasaran yang sedang pulih. Namun begitu, pendekatan oleh kerajaan seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pengumuman Bajet 2022 mestilah disalurkan tepat kepada golongan sasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Syed Hussein menyarankan sudah tiba masanya kerajaan mengiktiraf peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu menyalurkan bantuan kepada usahawan-usahawan yang benar-benar memerlukan.

Kata beliau, pihaknya menyokong sepenuhnya cadangan dan tindakan proaktif yang diambil Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dalam mengkaji semula syarat serta kelayakan inisiatif serta bantuan yang ditawarkan kementerian itu dan agensi di bawahnya bagi memudah cara proses permohonan para usahawan mendapatkan pembiayaan.

“Saranan menteri bagi memudah cara proses permohonan ini yang bersesuaian dengan situasi semasa adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh PMKS di seluruh negara,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *