Mazlan Bujang

131,281 murid Darjah Satu di Johor berdepan masalah 3M

Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

SERAMAI 131,281 murid Darjah Satu di Johor menghadapi masalah menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, jumlah tersebut melibatkan 20 peratus.

Jelas beliau, pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lalu menyebabkan pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka terlalu singkat hingga menjejaskan penguasaan 3M.

“Kemahiran 3M merupakan aspek penting yang perlu diberi penekanan kepada murid di Tahap Satu, membabitkan Darjah Satu, Dua dan Tiga.

“Justeru, kerajaan negeri telah merangka satu program khas Didik Johor dengan peruntukan sebanyak RM450,000 bagi membantu murid keciciran mengusai kemahiran 3M pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Penjana KPT Cap@ Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru hari ini.

Katanya, Didik Johor akan dibantu oleh guru menerusi tuisyen dan sebenarnya lebih kepada kelas pemulihan.

Program itu katanya, dikelolakan Yayasan Bandaraya Johor Bahru dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

“Program perintis bermula sejak bulan lalu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, PPR Kempas, dan PPR Bakar Batu,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, seramai 500 graduan menganggur di negeri ini akan menerima manfaat program Penjana KPT-CAP Negeri Johor.

Beliau berkata, menerusi program terbabit graduan terutama anak Johor dan yang bermastautin di negeri ini akan memperoleh Sijil

Perkhidmatan Makanan dan Perkhidmatan Baristar menerusi latihan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Sejak dua minggu lalu pendaftaran sudah dibuka. Kursus sijil antara lapan hingga 15 bulan ini adalah percuma.

“Graduan yang mengikuti kursus ini akan diberi elaun, makan minum dan tempat tinggal selain akan menjalani latihan sambil bekerja di premis McDonald sebagai pelatih pengurusan dan pengendali makanan,” katanya.

Mereka juga katanya, akan terus diserap bekerja secara automatik selepas tamat latihan dan program itu bagi membantu graduan menganggur dan masih gagal mendapat pekerjaan berikutan pandemik Covid-19.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *