hamzah zainudin pemeriksaan vaksin

USJKT kendali kes mati dalam tahanan polis-Hamzah

JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT) bertujuan mengendalikan dan menyiasat kes kematian dalam tahanan polis yang akan berfungsi bermula 1 Januari 2022.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, unit itu akan ditubuhkan diketuai oleh seorang pegawai polis berpangkat Superintendan dan dianggotai seramai 12 anggota dan juga seorang pegawai awam.

“Kita sering menerima rungutan tentang kematian dalam tahanan dan lokap, oleh itu kita sedang merancang untuk melakukan sesuatu.

“Kita memerlukan pendekatan penambahbaikan lagi untuk menangani kes jenayah seksual, cedera dan kematian dalam tahanan, kita bincang dengan PDRM untuk mewujudkan satu lagi unit iaitu USJKT di bawah JIPS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, hari ini.

Hamzah berkata, langkah tersebut sebagai keprihatinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap segala rungutan yang diluahkan rakyat mengenai insiden kematian dalam tahanan.

“Penubuhan unit baharu itu akan membantu kerajaan meningkatkan integriti dan imej polis,” katanya.

Menurutnya, unit itu akan memberi tumpuan kepada siasatan polis yang telus membabitkan unsur jenayah, mengenal pasti suspek, kecuaian, kelalaian anggota, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan.

“Saya difahamkan sebanyak 176 kes kematian dilaporkan iaitu 82 daripadanya membabitkan kematian dalam lokap manakala 94 lagi dalam tahanan sejak 2015 hingga 2021,” katanya.

Hamzah berkata, kematian lokap yang berlaku bukan disebabkan isu perkauman seperti didakwa sesetengah pihak.

“Ia (kematian) tidak ada kena mengena dengan jantina serta perkauman sebaliknya ia adalah perkara yang tak boleh dielakkan atas pelbagai faktor antaranya sakit dan sebagainya,” katanya.

Hamzah berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk melantik doktor panel bagi membolehkan mana-mana individu yang ditahan polis dirujuk segera ke klinik swasta.

“Jika ikutkan SOP sedia ada, kita perlu menunggu doktor atau pegawai perubatan yang akan dihantar oleh Kementerian Kesihatan yang mana ia akan mengambil masa yang lama.

“Jika khidmat doktor panel klinik swasta dibenarkan maka seorang tahanan boleh segera dirujuk kepada panel untuk proses saringan kesihatannya bagi mengetahui status kesihatan semasa tahanan itu sebelum dibawa ke lokap,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *