Kereta terbabas elak van lawan arus di Jambatan Pulau Pinang

SEBUAH van dirakam dipandu secara melawan arus di atas Jambatan Pulau Pinang dari arah tanah besar menghala ke bahagian pulau dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Lebih malang, tindakan pemandu van berkenaan turut menyebabkan sebuah kereta lain dipercayai Honda City terbabas hingga melanggar tembok pembahagi jambatan dipercayai kerana terkejut dan cuba mengelak van berkenaan.

Kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka pemandu awam lain dan tular di dalam media sosial hari ini.

Ketika kejadian, keadaan trafik dilihat masih lengang disebabkan awal pagi.

Bagaimanapun setakat ini tiada maklumat lanjut daripada pihak berkuasa berhubung kejadian sebenar dan keadaan mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Kejadian memandu secara lawan arus kerap berlaku di Pulau Pinang dengan yang terbaharu pada pertengahan bulan lalu melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil di Plaza Tol Juru, Simpang Ampat, pukul 8.15 pagi.

Dalam kejadian yang juga sempat dirakam pengguna lain itu, pemandu Perodua Kancil berkenaan dilihat berada di laluan paling kanan dan hampir-hampir melanggar kenderaan yang berada di laluan tersebut.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *