Cadangan pembukaan VTL laut dibincangkan Januari ini

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MALAYSIA-Singapore Joint Ministerial Committee (JMC) akan membincangkan pembukaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) laut pada awal Januari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, cadangan pembukaan VTL laut tersebut melibatkan perjalanan dua hala dari Desaru Coast Ferry Terminal (DCFT), Kota Tinggi ke Tanah Merah Ferry Terminal di Singapura.

Menurutnya, perkara itu ada dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong baru-baru ini.

“Perdana Menteri Singapura beri reaksi bahawa perkara itu boleh dipertimbangkan. Perkara ini masih di peringkat perbincangan melibatkan Malaysia-Singapore Joint Ministerial Committee (JMC) antara kedua-dua negara.

“Melalui JMC yang dipersetujui kedua-dua negara akan diadakan perbicangan segera berkenaan pembukaan VTL laut. Mesyuarat JMC akan diadakan awal Januari ini. Mungkin satu jawatankuasa bersama (dapat ditubuhkan) membincangkan pembukaan VTL laut ini,” katanya.

Beliau berkata demikiankepada pemberita selepas melancarkan Program Perantis Iskandar di Kompleks Sukan Educity di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Bermula 29 November lalu, pengembara rakyat Malaysia yang lengkap dos suntikan vaksin dibenarkan pulang ke tanah air di bawah inisiatif VTL darat dan udara.

Bagi VTL darat, 1,440 pengembara perlu menggunakan khidmat bas dari Terminal Queen Street ke Terminal Larkin Sentral di sini tanpa perlu menjalani perintah kuarantin sebaik tiba, sementara langkah sama turut diaplikasi bagi terminal udara.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, jumlah pengembara dan semua perkara berkaitan termasuk prosedur operasi standard (SOP) akan dibincangkan dalam mesyuarat JMC nanti.

Sebagai permulaan katanya, VTL laut itu hanya melibatkan Singapura serta membabitkan semua sektor dan rakyat dari kedua-dua negara dibenarkan menggunakannya yang tidak terhad kepada pelancong sahaja.

Beliau berkata, pada masa ini DCFT yang merupakan terminal feri antarabangsa yang bukan sahaja menghubungkan Singapura,
sudah siap sepenuhnya tetapi masih belum beroperasi.

Katanya, pembukaan DCFT dan pelancaran VTL laut itu akan merancakkan sektor ekonomi di negeri ini terutama pelancongan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *