Ali Krian

Ali Biju bertanding DUN Krian atas permintaan pengundi

PERMINTAAN ramai sehingga di peringkat akar umbi, menjadi sebab utama Datuk Ali Biju memilih terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 (PRN) ini walaupun sebagai calon Bebas, menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu.

Katanya, atas dasar menghormati permintaan pengundi di kawasan berkenaan, beliau hadir mendaftarkan diri sebagai calon di Dewan Masyarakat Sri Krian, di sini hari ini.

Bagaimanapun Ahli Parlimen daripada parti Bersatu itu berkata, keputusannya mendaftarkan diri sebagai calon Bebas hari ini, tidak diketahui oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini permintaan rakyat.. kita perlu hormati permintaan akar umbi… itu saja.

“Presiden (Bersatu) pun tidak tahu, sekarang mungkin dia dah tahu lah..,” kata Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok kepada Bernama.

Menurutnya, soal sama ada keputusan beliau bertanding atas tiket Bebas akan memberi kesan kepada Bersatu, Ali berkata, perkara itu belum difikirkan lagi.

“Itu kemudian.. bincang kemudian.. saya tak dapat komen sekarang sebab keputusan dibuat atas permintaan rakyat,” jawabnya ringkas.

Dalam perkembangan sama, Ali, 53, berkata strategi kempennya pada PRN Sarawak kali ini sama sekali tidak akan terjejas walaupun sebagai calon Bebas, malah beliau yakin mampu meraih kemenangan pada hari pengundian 18 Dis nanti.

“Krian adalah unik.. dia (pengundi) mahu ke arah personaliti, individu.. parti bukan perkara utama sangat.

“Kita semua kena yakin yang kita akan menang,” katanya sambil disahut dengan sorakan para penyokongnya.

Pertandingan di kerusi itu melibatkan tiga lagi calon iaitu Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Danny Kuan dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik.

Ali memenangi kerusi DUN Krian pada PRN 2011 dan 2016. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *