Oleh RAHIMI MOHAMAD
PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, mereka buat masa ini hanya mahu memberi tumpuan kepada pengukuhan parti dan Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu berbanding perkara lain.
Beliau berkata, ia termasuk soal kerjasama dengan pihak lain terutama berkaitan Muafakat Nasional (MN) yang sedang diperkatakan ketika ini.
Malah menurut Menteri Besar Johor itu, pengukuhan UMNO dan BN lebih utama kerana sebarang jalinan kerjasama sepatutnya bersandarkan kepada kekukuhan parti itu sendiri.
“Kita tahu MN adalah satu persefahaman yang dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak di mana satu piagam telah ditandatangani antara UMNO dan Pas.
“Namun pada saya apa yang penting sekarang adalah UMNO dan BN itu sendiri perlu diperkuatkan dengan mengatasi segala masalah yang boleh gugat kekuatan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kebun Bandar di Taman Impian Emas di Johor Bahru, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu diminta mengulas pendirian UMNO Johor dalam soal kerjasama MN bersama Pas.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menolak gagasan Muafakat Nasional (MN) kerana UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.
Berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun malangnya apabila sampai di peringkat pelaksanaan, kepimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan Pas dalam MN.
Bagaimanapun Hasni berkata, pihaknya tidak menolak untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Perkara itu tertakluk kepada kekuatan UMNO dan BN itu sendiri. Di Johor kita dapat lihat UMNO dan BN buat program sendiri, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga buat program sendiri, jadi saya rasa itu satu suasana amat sihat di mana masing-masing jaga parti sendiri,” ujarnya.
Leave a Reply