Sindiket seludup PATI keluar masuk tumpas

Oleh RAHIMI MOHAMAD

POLIS menumpaskan kegiatan penyeludupan migran didalangi sindiket dikenali sebagai Geng Janggut selepas tertangkapnya ketua kumpulan itu bersama-sama dua orang kanan serta ahli lain dalam operasi baru-baru ini.

Sindiket tersebut dipercayai telah mengaut keuntungan sehingga RM829,500 hasil kegiatan membawa masuk migran dari Indonesia atau menghantar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terbabit keluar dari negara ini sejak Jun lalu.

Lelaki Indonesia, Joni Aripin atau dikenali Janggut antara yang ditahan bersama-sama rakan senegaranya, Muhidin @Muhit dan Gern @ Galang yang bertindak selaku orang kanan Janggut serta 12 ahli sindiket.

Kesemua mereka yang berusia 22 hingga 50 tahun ditangkap oleh sepasukan polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di tiga lokasi berasingan sekitar Johor Bahru dan Kulai pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berdasarkan risikan dan siasatan, sindiket terbabit dipercayai mengenakan caj RM1,300 bagi membawa masuk setiap migran dan RM1,500 untuk proses keluar.

“Modus operandi sindiket ini dipercayai mendapat bantuan dan kerjasama daripada lain-lain ejen atau pengurus yang akan mengatur pergerakan migran. Migran ini akan berhubung dengan mereka dan seterusnya ejen atau pengurus migran itu akan mengatur perjalanan tersebut melalui sindiket ini.

“Transporter akan menghantar migran ke kawasan pendaratan sebelum ditempatkan di penampungan sementara untuk satu tempoh masa tertentu. Migran akan dihantar ke lokasi yang dikehendaki atau ke stesen bas berdekatan sebelum migran bergerak sendiri ke lokasi diingini,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Ayob Khan berkata, bayaran yang dikenakan ke atas migran yang ingin memasuki Malaysia perlu dibuat sebelum mereka dibenarkan menaiki bot dari Batam atau Tanjung Pinang, Indonesia.

Katanya, bayaran itu tidak termasuk upah transporter yang akan mengambil dan membawa migran dari pantai di negara ini ke lokasi penampungan atau lokasi yang ingin dituju PATI tersebut.

“Sindiket Janggut aktif dalam menjalankan kegiatan penyeludupan migran di kawasan Sungai Tengah, Bandar Penawar, Kota Tinggi. Sindiket ini mula bergerak aktif sejak April lalu sehingga kini.

“Pada Jun hingga September lalu, sindiket ini dipercayai telah mengatur kira-kira 465 orang PATI masuk dan 150 orang PATI keluar melibatkan 15 pendaratan bot di kawasan Sungai Tengah, Bandar Penawar,” katanya.

Kesemua tangkapan tersebut ditahan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 Sosma dan Seksyen 26(a) Akta Anti Pemerdagangan Manusia Dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Katanya, operasi akan diteruskan bagi menjejaki saki baki sindiket yang masih bebas bagi memerangi kegiatan penyeludupan migran kerana polis percaya kegiatan itu akan terus berlaku disebabkan permintaan pekerjaan yang tinggi susulan banyak sektor ekonomi kembali dibuka di negara ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *