MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sedia menyiasat berkenaan isu ‘lesen terbang’ yang tular dalam media sosial.
Jika terbukti benar beliau akan memastikan pihak yang terbabit dengan perbuatan diri dikenakan hukuman setimpal.
Beliau berkata, perkara itu juga kini dalam siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Aktiviti menjual lesen memandu secara haram dengan menerima wang sogokan biarpun tidak melepasi ujian ditetapkan di Institut Memandu (IM) adalah perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi media sosial, hari ini.
Ka Siong berkata, ujian yang ditetapkan oleh IM adalah prosedur penting untuk dipatuhi kerana bukan sahaja membabitkan pendedahan terhadap peraturan jalan raya, juga bertujuan mendapat kefahaman jelas mengenai keselamatan jalan raya sebelum seseorang dibenarkan memiliki lesen memandu.
Pada masa sama, beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sudah mengeluarkan kenyataan media semalam, berhubung perkara itu.
Media semalam melaporkan, (JPJ) akan menjalankan siasatan bersama SPRM berhubung dakwaan ada pegawainya terbabit kegiatan menjual ‘lesen terbang’.
Dalam satu kenyataan hari ini, JPJ memaklumkan, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan yang dibuat oleh seorang pempengaruh atau ‘influencer’ media sosial menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial.
Individu terbabit, dalam hantaran video di Facebook yang bertajuk ‘Lesen Gerenti Lulus’, mendakwa wujud tawaran menerusi media sosial mendapatkan ‘lesen terbang’ atau lesen memandu tanpa perlu mengikut prosedur sah.
Menerusi video berdurasi dua minit enam saat itu, individu berkenaan mendakwa kegiatan itu didalangi sindiket dianggotai pelbagai pihak termasuk pegawai JPJ sendiri.
Dakwanya lagi, kegiatan sedemikian sudah beberapa kali didedahkan media sejak 2014, namun masih berleluasa dan sindiket didakwa semakin berani dengan mengiklankannya di media sosial.
Leave a Reply