Sesi persekolahan diteruskan hingga cuti penggal, hujung minggu ini

Oleh RIZQI ZABIDI

SESI persekolahan tahun ini akan diteruskan hingga ke penghujung penggal memandangkan jumlah pelajar yang dijangkiti Covid-19 ketika ini dianggap masih lagi rendah berbanding jumlah pelajar secara keseluruhan di seluruh negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, data menujukkan jumlah kes aktif melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara masih berada di tahap rendah iaitu melibatkan hanya 200 hingga 250 orang berbanding 4.5 juta pelajar yang hadir ke sekolah.

“Secara umumnya jika dilihat dalam konteks kita nak bergerak ke fasa endemik, kita tahu akan ada kes yang berlaku di luar sana dan itu tak dapat dielak. Namun dalam konteks data yang kita ada, jumlah kes aktif itu adalah jauh lebih rendah berbanding jumlah keseluruhan murid.

“Dalam konteks kita bergerak ke fasa endemik, ini yang akan berlaku. Tetapi kita dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ada, kita cuba kawal supaya tak berlaku penularan besar Covid-19 dan insya Allah sesi persekolahan akan berterusan hingga ke akhir penggal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Akademi Sains Pendang, hari ini.

Penggal persekolahan tahun ini bakal berakhir pada hujung minggu ini iaitu pada 10 Disember 2021.

Radzi menambah, pihaknya pada setiap masa sentiasa menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menentukan langkah-langkah yang perlu diambil terutamanya melibatkan sekolah-sekolah yang memiliki kes Covid-19.

“KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sentiasa membuat penilaian mengenai langkah yang perlu diambil. Jika berlaku kes seperti di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, mereka akan mengeluarkan arahan untuk menutup sekolah.

“Bagi pihak Kementerian Pendidikan pula, kami akan sentiasa akur dengan nasihat diberikan itu,” katanya.

Mengulas lanjut Radzi berkata, kementeriannya berpandangan sistem persekolahan secara bersemuka amat penting dalam usaha meminimumkan masalah murid bagi mengelakkan mereka tercicir dari pelajaran.

“Dalam sistem bersemuka ini, kita dapat kenal pasti masalah mereka dan langkah-langkah intervensi boleh dilaksanakan segera. Tetapi apabila sekolah ditutup seperti sebelum ini, mungkin akan timbul perasaan ‘renggang’ antara murid dengan sistem perskolahan walaupun Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan.

“Memang ramai kata sekolah jangan dibuka dulu, tetapi kita dah bincang bahawa amat pentinng untuk sekolah dibuka sambil semua pihak meneliti akan intervensi perlu dilaksanakan supaya anak-anak ini rapat dengan sistem persekolahan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *