PADA 21 Oktober lalu, rakyat disajikan dengan berita, bagaimana dalam kesibukan tugas sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ‘mencuri masa’ seketika untuk menyantuni sifu politik beliau, Tan Sri Sabbaruddin Chik dalam satu majlis makan malam.
Daripada gambar-gambar yang disiarkan dalam Facebook Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Anuar Yunus jelas terpancar kemesraan dan keakraban antara Ismail Sabri dengan Sabbaruddin yang disifatkan Perdana Menteri insan penting dalam perjalanan kerjaya politik beliau.
Malam tadi genap 45 hari selepas pertemuan yang dianggap bersejarah itu, Sabbaruddin Chik menghembuskan nafas terakhir pukul 8 malam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selepas seminggu dimasukkan ke pusat rawatan tersebut.
Kembalinya ke rahmatullah, bekas Setiausaha Agung UMNO itu sememangnya satu berita mengejutkan kepada Perdana Menteri yang mencatatkan perasaan sedih dan dukanya dalam Facebook beliau malam tadi.
Berikut catatan penuh Ismail Sabri;
Innalillahi wa inna ilaihi raji’un
Telah berpulang kepada Allah SWT, seorang insan yang sebahagian kehidupan saya ‘terhutang’ kepadanya.
Sedih dan duka apabila menerima perkhabaran, sifu dan mentor politik saya, Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin bin Chik telah meninggalkan kita semua selama-lamanya.
Tan Sri meninggal dunia sekitar pukul 8 malam ini setelah seminggu dimasukkan ke hospital di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Allahyarham adalah episod penting bagi sejarah perjuangan saya dalam dunia politik. Akan selamanya menjadi kenangan dan ingatan sewaktu Allahyarham menjadi Menteri Pelancongan Seni dan Budaya dari tahun 1987 sehingga 1996.
Ketika saya berusia 27 tahun, Allahyarham telah melantik saya sebagai ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 1987, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh beberapa bulan selepas itu.
Pada tahun 1995, saya memulakan karier politik dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham. Ketika itulah, banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya peroleh berkat tunjuk ajar Allahyarham.
Sesungguhnya Allahyarham seorang yang amat berdisiplin dan menepati waktu, malah sangat tekun dan berwibawa dalam melaksanakan amanahnya untuk rakyat dan negara.
Segala ilmu dan tunjuk ajar Allahyarham, tidak pernah saya lupakan dan akan saya kenang sepanjang kehidupan ini. Pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang begitu besar, bukan sahaja kepada saya tetapi juga buat negara kita. Saya berdoa agar seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan menerima kehilangan besar ini.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Marilah kita semua sama-sama menghadiahkan surah al-Fatihah buat Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik. Al-Fatihah.
Leave a Reply