LEBIH 3,000 penduduk sekitar Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini menyerbu pekarangan Wisma UMNO Kepala Batas untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga lebih murah.
Ia sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang berlangsung selama lebih empat jam bermula pukul 8 pagi yang bertujuan meringankan beban kos perbelanjaan rakyat kebanyakan.
Antara barangan asas yang dijual dengan harga yang murah adalah ayam mentah berharga RM5 seekor; sepapan telur ayam Gred C (RM8); lima kilogram beras (RM10) serta daging lembu tempatan dijual berharga kira-kira RM30 sekilogram.
Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, program yang menawarkan penjimatan antara 25 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan asas itu dapat meringankan beban kos sara hidup yang kian meningkat ketika ini.
Malah melihat kepada sambutan yang diterima juga, beliau memberi jaminan program tersebut akan dilaksanakan setiap minggu sehingga harga barangan keperluan kembali terkawal.
“Saya akan cuba usahakan (program jualan mingguan), jika dapat sambutan saya akan buat tiap-tiap minggu sehingga keadaan (harga) lebih stabil dan mungkin juga ada pendekatan lain (dalam menstabilkan harga barang),” katanya yang ditemui pemberita selepas meninjau program tersebut.
Secara keseluruhan, program jualan yang disertai 10 buah syarikat dan agensi itu di berjaya mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM63,148 membabitkan nilai subsidi RM14,943.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang; Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA); Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan beberapa pasar raya dari segi menyediakan bekalan untuk program tersebut.
Program itu diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Disember lalu dan akan dilaksanakan di 222 kawasan Parlimen bermula Sabtu lalu bagi menawarkan harga barang keperluan asas antara 20 hingga 50 peratus lebih murah berbanding tempat lain.
Inisiatif itu dilaksanakan oleh KPDNHEP; Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Kewangan.
Leave a Reply