PENULIS sebenarnya tidak ada masalah malah memuji tindakan Hannah Yeoh yang bertudung apabila hadir dalam satu majlis di sebuah masjid, baru-baru ini.
Apa yang dilakukan oleh Hannah harus dipuji kerana tahu membawa diri dan menghormati majlis. Bagaimanapun apabila tindakan Hannah dikritik oleh rakan separtinya itu yang menjadi masalah.
Bekas Pengerusi DAP Johor, Dr. Boop Cheng Hau mengkritik cara pemakaian Hannah itu dalam kumpulan WhatsApp pemimpin DAP.
“Mungkin semua wakil wanita kita harus memakai tudung bukan sahaja di masjid tetapi di seluruh tempat seperti di pasar awam, gereja, sekolah dan sebagainya.
“Lebih bagus, semua orang perlu memeluk Islam. Kemudian kita akan pasti memenangi Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Apa kata anda semua?” sindirnya yang juga bekas pengerusi DAP Johor seperti dilapor portal Malaysiakini berdasarkan komunikasi WhatsApp yang bocor.
Kritikan itu mendapat reaksi Setiausaha Agung Lim Guan Eng., sekali lagi penulis tidak ada masalah dengan teguran beliau apabila Ahli Parlimen Bagan itu menasihatkan Boo agar mengutamakan isu rakyat seperti kenaikan harga barang keperluan yang melambung tinggi berbanding ‘taksub’ terhadap pakaian pemimpin wanita DAP ketika melawat masjid atau tempat ibadat”.
“Bagi seorang pemimpin lelaki DAP menjadikan pakaian dipakai Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh ketika mengunjungi masjid sebagai satu masalah tidak ada bezanya dengan pemimpin Pas yang ekstremis dan primitif yang mahu mengawal apa yang boleh atau tidak boleh dipakai oleh wanita.
“Ini bukan sahaja tidak sensitif jantina tetapi juga menunjukkan bahawa kita sama tidak bertoleransi dan regresif seperti pemimpin ekstremis Pas,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan seperti dilapor Malaysiakini.
Soalnya apa hal pula dikaitkan dengan Pas? Setahu penulis tidak ada seorang pun pemimpin Pas yang membuat sebarang komen berhubung pakaian Hannah.
Sepatutnya Guan Eng lebih berhati-hati apabila membuat kenyataan bak kata orang.. ”Itu masalah kau orang..apa hal babitkan Pas”.
Penulis percaya tidak ada mana-mana pemimpin Pas akan mencampuri apa yang Hannah lakukan kecualilah beliau mengenakan pakaian menjolok mata ketika memasuki masjid.
Kalau itu berlaku bukan kata Pas malah seluruh umat Islam akan bangkit mengecam Hannah tetapi itu tidak berlaku kerana Hannah tahu apa yang pakaian sesuai untuk memasuki kawasan masjid.
Dan untuk rekod, ini bukan kali pertama Hannah bertudung apabila menghadiri majlis di masjid, sejak beberapa tahu lalu lagi beliau berbuat demikian. Rajin-rajinlah Google atau Facebook Hannah Yeoh… di situ ada gambar-gambar berkaitan. Jadi agak hairan jugak kenapakah kali ini ia menjadi isu?
Adakah benar apa yang terjadi membuktikan pertembungan tidak berkesudahan antara puak progresif dan konservatif dalam DAP?
Tetapi tidak mengapalah, itu soal dalaman DAP, namun kalaulah ada perbezaan pandangan atau pertembungan antara kelompok dalam parti janganlah nak alih isu dengan melibatkan parti lain.
Sebab itu sebenarnya politik tidak cerdik dan membuktikan kelemahan seorang pemimpin mengendalikan isu dalaman partinya. Seperkara lagi kenapa Guan Eng menganggap pemimpin Pas bersikap ekstrem? Apa buktinya? Bagaimana kalau orang menuduh DAP parti perkauman? Adakah Guan Eng boleh menerimanya? Jadi janganlah menuduh parti lain sesuka hati!
Tak kan usaha Pas mempertahankan perjuangan Islamnya dan memastikan perkara-perkara berkaitan Islam ditegakkan itu dianggap ekstrem? Selagi apa yang dilakukan bertepatan Perlembagaan dan tidak mengganggu hak kaum serta agama lain, ia tidak ada salahnya.
Kalaulah Guan Eng sesuka hati boleh melemparkan tuduhan kepada Pas maka jangan marah jika selepas ini pemimpin Pas pula akan bertindak balas mengecam DAP. Soalnya adakah itu akan menguntungkan rakyat?
Oleh itu lebih baik jika Guan Eng tidak mengaitkan parti lain bila ada isu dalam DAP. Jika Guan Eng menasihatkan Boo supaya menumpukan kepada isu rakyat seperti kenaikan harga barang maka beliau juga seharusnya mengelakkan membuat kenyataan yang hanya akan ‘memanaskan suhu’ politik negara.
Janganlah menjadi ‘ketam mengajar anaknya berjalan betul’ walaupun kita tahu DAP masih lagi ‘berduka’ dengan pencapaian di PRN Melaka dan gelisah jika di PRN Sarawak keputusannya lebih parah.
Leave a Reply