boo cheng hau lim guan eng mahathir mohamad

Cheng Hau tuduh Guan Eng jadi pak turut Mahathir

PERTIKAMAN lidah antara bekas Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung isu Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memakai tudung di masjid menjadi semakin panas.

Dalam catatan Facebook miliknya, Cheng Hau menuduh Guan Eng sebagai ‘pak turut’ kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Menteri Kewangan era rejim Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Beliau mengungkit perkara itu ekoran keengganan Guan Eng meluluskan peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

“Saudara Setiausaha Agung, sehingga kini anda masih tidak faham mengapa kaum Cina masih tidak dapat menerima keengganan anda meluluskan dana untuk TAR UC semasa anda menjadi Menteri Kewangan.

“Kaum Cina kecewa dengan anda kerana mengutamakan sentimen kepartian mengatasi pendidikan dan menjadi ‘pak turut’ kepada Tun Mahathir,” katanya.

Baru-baru ini, Cheng Hau membidas pakaian Hannah pada hari terbuka masjid di kawasannya dalam perbualan kumpulan WhatsApp DAP Johor yang bocor.

“Mungkin semua wakil wanita kita harus memakai tudung bukan sahaja di masjid tetapi di seluruh tempat seperti di pasar awam, gereja, sekolah dan sebagainya.

“Lebih bagus, semua orang perlu memeluk Islam. Kemudian kita akan pasti memenangi Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Apa kata anda semua,” soalnya pada perbualan itu.

Cheng Hau mempertahankan kenyataannya ketika bercakap kepada Malaysiakini, berkata walaupun sensitiviti budaya adalah penting, DAP mesti melampaui cara ‘dangkal’ dalam mendekati masyarakat Melayu, sambil berlaku adil kepada semua masyarakat.

Berikutan itu, Guan Eng membela Hannah dan menempelak Cheng Hau secara terbuka.

Pada masa yang sama, Cheng Hau tetap mempertahankan pendiriannya mengecam tindakan Hannah memakai tudung yang disifatkannya sebagai gimik politik.

Menurut beliau, gimik politik yang dibuat-buat hanya mampu meraih keuntungan politik yang sementara.

“Perbuatan mengambil hati mana-mana kumpulan etnik secara keterlaluan tidak akan memberi kesan politik jangka panjang.

“Kekalahan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan amaran yang membimbangkan kepada DAP dan PH,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *