piala sudirman

Biarpun sukar namun masih ada ruang Bersatu bersama Pas,UMNO – Faizal

WALAUPUN dilihat sukar namun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi berpendapat masih ada ruang buat parti itu bersama UMNO dan Pas.

Timbalan Presiden Bersatu itu menegaskan, untuk menyaksikan kerjasama ketiga-tiga parti itu, usaha perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak dan tanpa Batasan masa.

Tegas beliau, walaupun Bersatu fokus bersama-sama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional namun dalam masa sama mereka juga komited memberi sokongan padu kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

‘’Kalau nak melakukan, kebaikan, sampai hujung nyawa pun (boleh lakukan), kalau kita sempat bertaubat, kita harap Allah akan terima taubat kita, kita boleh balik je jalan yang baik.

‘’Saya secara peribadi berpandangan bahawa demi kebaikan tidak ada had masa,’’ katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Pada Sabtu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan UMNO melanggar piagam Muafakat Nasional menjadi punca parti itu menolak untuk bersama gabungan itu.

SEMENTARA ITU di Kota Bharu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ada kemungkinan kenyataan Abdul Hadi disalah petik.

Katanya, apa yang ingin dinyatakan oleh Abdul Hadi ialah dalam piagam Muafakat Nasional , penyatuan ummah perlu dilaksanakan bukan hanya antara UMNO dan Pas sahaja, sebaliknya perlu dibuka kepada semua parti lain dan badan bukan kerajaan.

‘’Satu lagi MoU, saya nak sebut dengan jelas apa yang disebut oleh Presiden Pas dalam piagam Muafakat Nasional ini, penyantuan ummah perlu dilaksnaakan bukan hanya (antara)UMNO dan Pas sahaja..mesti dibuka kepada semua parti lain, NGO dan orang perseorangan yang mempunyai cita-cita sama.

‘’Itu yang ditekankan oleh Presiden (Abdul Hadi) jangan hadkan penyatuan ummah itu antara Pas dan UMNO sahaja,’’ katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *