Anggota, pegawai jangan cemar imej PDRM menerusi ‘Tik Tok’

TIMBALAN Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggotanya yang melakukan aksi keterlaluan dalam media sosial.

“Tindakan seperti itu tidak sesuai dan hanya mencemarkan imej pasukan. Jika kita mengesan ada yang melakukan sedemikian, siasatan lanjut akan dilakukan sebelum tindakan tindakan sewajarnya diambil.

“Kalau adanya anggota atau pegawai yang berpakaian lucah masuk dalam Tik Tok contohnya, kita akan ambil siasat dan juga mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kenderaan jenis Toyota Hilux GS Cargo PDRM Kontinjen Terengganu di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 6 Wakaf Tapai, Marang, hari ini.

Mazlan berkata, selain dilarang membuat aksi melampau dalam media sosial, PDRM turut mengingatkan pegawai dan anggotanya agar tidak mengeluarkan apa-apa komen yang jelek terhadap kerajaan atau pasukan beruniform itu.

Katanya, mereka ini mempunyai saluran tertentu untuk menyampaikan apa-apa maklumat atau yang tidak berpuas hati iaitu melalui persatuan.

Pada Disember 2020, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pernah menyarankan kepada pegawai dan anggota PDRM untuk tidak bermain aplikasi media sosial, Tik Tok ketika sedang bertugas kerana tidak sesuai dan mencemarkan imej pasukan.

Katanya, perbuatan seperti menari dalam aplikasi berkenaan tidak ‘manis’ dilakukan oleh seseorang pegawai mahupun anggota dalam sesebuah pasukan beruniform kerana perbuatan itu seolah-olah mengaibkan pakaian seragam PDRM.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *