4 ditahan guna senjata api mainan, menyamar polis semasa menyamun

Oleh RIZQI ZABIDI

TINDAKAN empat lelaki termasuk dua beradik menyamar sebagai polis bagi tujuan menyamun menerima padah apabila mereka diberkas polis tidak sampai 24 jam selepas melakukan kegiatan jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8 pagi apabila keempat-empat suspek hadir ke sebuah rumah di Kampung Jeram, Merbau Pulas, dekat Kuala Ketil, semalam

Katanya, keempat-empat mereka yang berusia 24 hingga 38 tahun memberi alasan kononnya mahu melakukan pemeriksaan terhadap rumah tersebut.

“Ketika kejadian, rumah itu didiami seorang wanita berusia 42 tahun bersama-sama beberapa kanak-kanak yang merupakan anak saudaranya. Suspek memperkenalkan diri sebagai polis da meminta wanita itu membuka pintu rumah.

“Wanita itu bagaimanapun enggan berbuat demikian menyebabkan keempat-empat suspek memecahkan pintu belakang rumah,” katanya dalam sidang akhbar di Kulim, hari ini.

Sazalee menambah, suspek turut bertindak melampau apabila mengacukan senjata api mainan dan memaksa mangsa masuk ke bilik.

“Di bilik itu, wanita berkenaan diikat tangannya menggunalan pengikat kabel. Suspek kemudiannya menyelongkar almari rumah sebelum adik mangsa tiba-tiba pulang dan menyedari kehadiran individu tidak dikenali di rumahnya.

“Tindakan adik mangsa yang menjerit meminta pertolongan menyebabkan kesemua suspek terkejut. Mereka bertempiaran lari namun seorang daripadanya berjaya ditahan orang awam,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati lelaki yang ditahan merupakan abang salah seorang suspek dan tindakan dilakukan polis selepas itu membawa kepada penahanan kesemua suspek di Sungai Petani pada pukul 3 pagi tadi.

“Pihak kami turut berjaya menemukan barangan kemas milik mangsa bernilai RM10,000 yang dilarikan suspek. Selain itu senjata api mainan serta tukul yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

“Semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka dipercayai baru menubuhkan kumpulan ini untuk melakukan samun dengan menggunakan taktik menyamar polis,” katanya.

Menurutnya semua suspek kini direman selama tujuh hari dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *