Oleh RAHIMI MOHAMAD
DIANGGARKAN 141,000 rakyat negara ini memilih untuk terus bekerja di Singapura sejak sempadan kedua-dua negara di Tambak Johor dan Linkedua ditutup pada Mac tahun lalu akibat Covid-19.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, ketika negeri itu membangunkan aplikasi Johor Immunity Planning System (Johor ImmuPlan) untuk rakyat negara ini yang mahu bekerja di Singapura sebelum ini, didapati seramai 115,000 orang membuat pendaftaran.
“Ini bermakna terdapat seramai 141,000 yang sedang bekerja di sana manakala 115,000 lagi sedang memohon untuk bekerja di sana, menjadikan hampir 300,000 rakyat Malaysia bergantung harap kepada pembukaan sempadan berkenaan.
Katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kebun Bandar di Taman Impian Emas, di Johor Bahru, hari ini.
Bermula 29 November lalu, pengembara rakyat Malaysia yang lengkap dos suntikan vaksin dibenarkan pulang ke tanah air di bawah inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara.
Bagi VTL darat, 1,440 pengembara perlu menggunakan khidmat bas dari Terminal Queen Street ke Terminal Larkin Sentral tanpa perlu menjalani perintah kuarantin sebaik tiba, sementara langkah sama turut diaplikasi bagi terminal udara.
Tambah Hasni, kepimpinan kedua-dua negara juga komited dan bersetuju untuk memastikan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura melalui inisiatif VTL darat terus berjalan lancar.
“Dalam pertemuan saya dengan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan beberapa hari lalu, beliau memaklumkan penutupan semula sempadan itu hanya akan dibuat sebagai langkah terakhir.
“Ketika ini kedua-dua negara bersetuju untuk memastikan sempadan itu terus dibuka dalam masa sama kajian sedang dibuat terhadap varian baharu. Dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi kita mungkin akan mendapat gambaran lebih jelas berkenaan varian Omicron ini tetapi ketika ini sempadan tersebut akan terus dibuka,” ujarnya.
Leave a Reply