Mayat kanak-kanak tidak berpakaian, reput ditemukan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MISTERI bau busuk berhampiran kawasan semak dalam sungai di Jalan Anggerik Putih Majidee, Kampung Desa Makmur, Johor Bahru terjawab apabila mayat seorang kanak-kanak ditemukan hari ini.

Mayat tersebut ditemukan seorang penduduk pada pukul 10.30 pagi sebelum memaklumkannya kepada pihak polis dan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata, susulan itu enam anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Mayat kanak-kanak tersebut ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian dan dianggarkan berusia kira-kira tiga tahun manakala jantinanya tidak dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat sudah reput.

“Terdapat bahagian mayat tersebut sudah dimakan haiwan mungkin ikan atau biawak. Rambutnya sudah tiada, belakang tengkorak pecah dan otak juga sudah tiada.

Anggota bomba dibantu polis mengangkat mayat kanak-kanak yang ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di kawasan semak dalam sungai di Jalan Anggerik Putih Majidee, Kampung Desa Makmur, Johor Bahru, hari ini.

“Kita anggarkan kanak-kanak tersebut sudah meninggal dunia dua atau tiga hari lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pihak bomba kemudian mengeluarkan mayat kanak-kanak tersebut yang berkedudukan kira-kira 1.5 meter dari tebing sungai tersebut.

Menurutnya, siasatan terhadap mayat kanak-kanak itu dilakukan unit forensik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Larkin di sini.

Tambah beliau, penemuan mayat kanak-kanak itu agak menghairankan kerana sebelum ini pihaknya atau BBP berdekatan tidak menerima aduan berkenaan budak hilang atau lemas dalam sungai.

Shamsul Khomari berkata, operasi yang diketuai Komander Operasi dari BBP Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azharin Abd. Aziz tamat pada pukul 11.26 pagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *