Tanam sayur

Tanam sendiri sayur elak kenaikan harga melambung

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan pengguna di seluruh negara menanam sayur-sayuran sendiri bagi mengurangkan beban kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini.

Perkara itu berikutan harga sayur-sayuran telah meningkat setiap hari secara beransur-ansur dan harga yang melambung tinggi itu dijangka bertahan untuk tempoh agak lama.

Malah, Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, Persatuan Penjual Sayur-sayuran juga telah menegaskan keadaan kenaikan harga sayur itu mungkin berterusan sehingga Tahun Baharu Cina akan datang.

Jelas beliau, menanam sendiri sayur di rumah boleh menjimatkan kos dan mudah dengan pengguna boleh bermula dengan menanam sayur-sayuran yang biasa dimakan.

Subbarow menanam sendiri sayur-sayuran di rumah tidak memerlukan ruang yang besar

Apatah lagi katanya, menanam sendiri sayur-sayuran di rumah tidak memerlukan ruang yang besar.

“Tumbuhan berbuah seperti bendi, terung, cili dan sayur-sayuran berdaun seperti sawi, kangkong, kalian, bayam dan tanaman saka pudina, pegaga, kesum dan selom boleh ditanam dengan mudah walaupun di balkoni.

“Barangan rumah yang biasa digunakan seperti karton susu, jus dan botol minuman serta bekas kecil boleh digunakan untuk tumbuhan yang mempunyai sistem akar yang lebih kecil seperti sayur-sayuran berdaun.

“Bagi tumbuhan yang mempunyai akar yang lebih besar seperti bendi dan terung, tin biskut bekas sejuk, botol minyak dan air lima liter boleh digunakan dengan mudah sebagai media tanam.

“Dengan cahaya matahari yang betul, air dan kompos sesiapa sahaja boleh menanam dan menuai sayur-sayuran walaupun di tempat yang kecil,” katanya.

Tambah beliau, CAP mengadakan latihan berkala pertanian bandar untuk mereka yang berminat untuk belajar terutamanya suri rumah menanam sayur-sayuran sendiri di rumah.

Selain itu katanya, CAP juga mengeluarkan baja vermi dan penggalak pertumbuhan tumbuhan dan tanah yang diperkaya dengan harga yang berpatutan bagi mereka yang ingin memulakan berkebun.

Subbarow menunjukkan bukan sahaja sayur daun tetapi juga serai ditanam di kawasan Pejabat CAP

Tambah beliau, panduan berkebun di rumah dan pengurusan perosak yang ringkas untuk pelajar baharu juga tersedia dijual di pejabat CAP.

“Memulakan taman rumah sendiri adalah berbaloi kerana akan memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga untuk menikmati sayur-sayuran segar dan bebas kimia.

“Mereka yang tinggal di bangunan kediaman bertingkat tinggi yang mempunyai ruang terhad juga boleh mengamalkan taman bandar dengan berkesan selagi mereka dapat memastikan tanaman mereka mendapat cahaya matahari,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai latihan pertanian semula jadi boleh mendaftar di pejabat CAP atau menghubungi talian 04-8299511 atau Subbarow di 012-5374899.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *