Warga emas hilang ketika jaring ikan, ditemukan mayatnya tersangkut

KEHILANGAN seorang warga emas yang keluar menjaring ikan dan tidak pulang ke rumah dalam kejadian di Kampung Tengah, Gemencheh, Tampin sejak petang semalam terjawab apabila ditemukan lemas malam tadi.

Mayat Ahmad Sudin, 87, ditemui tersangkut di dahan pokok tidak jauh dari lokasinya memasang jaring pada jam 8.30 malam tadi.

Mangsa dikatakan telah pergi memancing di sungai berhampiran rumahnya kira-kira jam 5 petang, namun tidak pulang menjelang malam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemencheh bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat malam tadi.

“Cucu warga emas berkenaan telah menghubungi bomba memaklumkan datuknya yang keluar rumah kira-kira jam 5 petang masih tidak pulang.

“Operasi mencari mangsa dilakukan. Dalam masa kurang dua minit, mangsa ditemukan tersangkut di dahan pokok tumbang tidak jauh dari lokasi mangsa memasang jaring,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba cuba memberikan bantuan pernafasan terhadap mangsa, namun lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada cucu mangsa, lelaki terbabit dipercayai menjaring ikan di kawasan sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.

“Mayat mangsa telah dihantar Hospital Tampin untuk tindakan lanjut,” kata beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *