sesi persekolahan radzi jidin

Sukan atas talian platform baharu murid tunjuk bakat

PLATFORM sukan atas talian mampu menjadi medium bagi para murid untuk kekal aktif dan menunjukkan bakat masing-masing walaupun pada ketika pandemik Covid-19.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, platform tersebut juga membolehkan para guru untuk mencungkil dan menggilap bakat serta potensi murid dalam bidang sukan.

Beliau menambah, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19 telah menjejas sektor pendidikan dan sosial apabila telah menyebabkan aktiviti sukan, latihan dan pertandingan secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

Pun begitu beliau mengingatkan, keadaan itu tidak wajar menjadi penghalang para guru daripada menjadi lebih kreatif.

“Guru perlu lebih kreatif dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi bagi meneruskan pembelajaran termasuk menggilap potensi murid dalam bidang sukan,” ujarnya.

Katanya, Pertandingan Kemahiran Sukan MSSM secara dalam talian 2021 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) bermula Ogos sehingga Oktober lalu  yang telah disertai seramai 46,269 peserta, membolehkan atlet murid melakukan aktiviti sukan di kediaman masing-masing secara dalam talian.

“Kemahiran sukan yang dipertandingkan secara rakaman video ini bukan sahaja menjadi platform bagi mengenal pasti bakat baharu malah dapat mempersiapkan atlet murid untuk bertanding dalam mana-mana kejohanan sukan pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (KPM-MSSM-Milo) 2019 secara maya hari ini

Dalam pada itu, Radzi berkata, beberapa atlet murid cemerlang sukan dan akademik selain memegang jawatan yang bagus telah dilahirkan hasil usaha dan peranan MSSM dalam mencungkil serta membentuk bakat atlet murid.

Antara atlet tersebut adalah gimnas negara, Lok Mei Hui, yang merupakan pelajar terbaik aliran Sains apabila memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2020; dan jaguh basikal negara, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo diadakan setiap tahun bagi meraikan kejayaan dan mengiktiraf atlet, jurulatih sukan, golongan pendidik dan warga KPM yang cemerlang dalam bidang sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sebagai rekod, Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo 2019 menyaksikan gimnas kebangsaan, Izzah Amzan muncul sebagai penerima Anugerah Emas.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *