Doktor wanita didenda tersilap potong kaki pesakit

SEORANG doktor didenda 2,700 euro (RM3,059) oleh sebuah mahkamah Austria selepas dia tersilap memotong kaki seorang pesakit warga emas

Seorang jurucakap sebuah tribunal di bandar Linz berkata, walaupun doktor wanita tersebut menyatakan bahawa perbuatan tersilap memotong satu kaki pesakit tersebut adalah kesilapan manusia, hakim pula mendapati kesilapan itu adalah berpunca daripada kecuaian.

Berikutan itu, doktor tersebut didenda dengan jumlah itu dan separuh daripadanya digantung pembayarannya, kata jurucakap berkenaan.

Doktor itu tersilap menandai kaki seorang warga emas berumur 82 tahun yang hendak dipotong sebelum pembedahan dilakukan pada bulan Mei lalu namun dia menyedari telah melakukan kesilapan dua hari selepas pemotongan dilakukan.

Pihak mahkamah juga telah menganugerahkan ganti rugi sebanyak 5,000 euro (RM5,665) ditambah dengan kadar faedah kepada balu pesakit tersebut.

Ini adalah kerana pesakit berkenaan sudah meninggal dunia sebelum kesnya dibawa ke mahkamah.

Bagaimanapun, doktor itu boleh membuat rayuan berhubung keputusan tersebut dan dia kini bekerja di sebuah klinik yang lain.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *