Bayi dipercayai dibaling bungkusan parcel, polis jalankan siasatan

POLIS Pulau Pinang sudah menerima laporan berhubung kejadian seorang wanita dipercayai pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di negeri itu yang didakwa menganiaya seorang bayi dengan membaling objek dipercayai bungkusan barang terhadap bayi berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3(1) Akta Kanak Kanak 2001,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau mengulas mengenai video kejadian itu yang tular di dalam media sosial Facebook sejak petang semalam yang didakwa berlaku di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bayan Baru, Pulau Pinang.

Video berdurasi 44 saat itu memaparkan tindakan seorang wanita dipercayai pekerja di pusat jagaan tersebut yang seolah-olah bertindak membaling satu objek seperti bungkusan ‘parcel’ terhadap seorang bayi yang sedang meniarap.

Klip video itu dikongsikan pemilik laman sosial Facebook Cahaya Naziha Mohd Nhazeri dipercayai ibu kepada bayi tersebut.

Menerusi catatan di laman sosialnya, wanita itu menulis: “Pos dekat sini la sebagai kenangan…nanti baby tu dah besar, dia boleh  tengok apa yang orang dah buat dekat dia. Semoga Allah pelihara anak-anak syurga yang lain. Aku selalu tengok dekat anak orang ja. Sekali anak aku yang kena. Aku dah cukup baikkkkkkk”.

Video itu mendapat kecaman warganet yang turut menggesa pihak polis menjalankan siasatan lebih lanjut dan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan wanita terbabit.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *