AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong secara terbuka menyatakan perasaan tidak puas hati dengan isu dalaman yang melanda DAP.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Calvin turut tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti yang menyaksikan beliau dan beberapa wakil rakyat DAP yang lain tidak dipilih menganggotai Jawatankuasa DAP Sabah.
Beliau yang kini menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura selama dua penggal tidak pula menyatakan sama ada akan meninggalkan DAP.
“Buat masa ini saya masih dengan DAP. Bagaimanapun, saya ingin melihat sama ada parti akan mengambil langkah bagi memperbetulkan isu terbabit dan sejauh mana jawatankuasa itu menunjukkan prestasi mereka.”
“Jika tiada tindakan dilakukan, saya perlu memikirkan langkah yang seterusnya,” katanya kepada Free Malaysia Today.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong mengumumkan keluar DAP pada 22 November lalu kerana kecewa dengan keputusan pemilihan parti baru-baru ini.
Selain Calvin, beberapa lagi yang gagal dipilih semula ke dalam jawatankuasa negeri termasuk Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan bekas Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin; ADUN Kepayan, Jannie Lasimbang dan bekas Senator, Adrian Lasimbang.
ADUN Tanjong Papat, Frankie Poon dilantik sebagai Pengerusi DAP Sabah.
Jimmy, yang pernah menyandang jawatan pembantu menteri dalam kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum ini, mendakwa Frankie mengabaikan ‘pemikir parti’ yang telah lama berjuang untuk DAP.
Katanya, beliau telah lama memendam kekecewaan terhadap kepimpinan negeri dan keputusan pemilihan itu adalah titik terakhir.
Frankie dilaporkan menafikan bahawa wujudnya puak atau sebarang perpecahan dalam parti terbabit.
Leave a Reply