PKR solo PAN DAP

Krisis PH semakin membusuk, Ahli Parlimen PKR desak bertanding solo PRU-15

Oleh RAHIMI MOHAMAD

EKORAN kemelut dalaman Pakatan Harapan (PH) termasuk selepas tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu, seorang Ahli Parlimen PKR yang juga veteran parti mencadangkan agar PKR bertanding solo.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, cadangan itu selepas melihat situasi terkini yang berlaku terhadap PKR dan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut didesak segelintir rakan sekutu dalam PH agar melepaskan jawatan pengerusi gabungan itu.

Malah, bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, tidak menghairankan apabila DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersikap sedemikian kerana peribahasa Melayu telah menyebut bahawa ‘habis madu sepah dibuang’.

Kata Hassan, keengganan parti komponen PH menggunakan logo PKR pada PRN Melaka juga jelas menunjukkan parti itu perlu membina kekuatan sendiri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Apabila PH kalah di Melaka, presiden kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi mangsa dikritik hebat pemimpin DAP, Amanah serta anggota mereka. Disuruh berundur, (malah) kita dengar suara kurang sopan, angkuh dan sombong dihamburkan terhadap presiden kita.

“Mungkin DAP dan Amanah sudah terlalu kuat sekarang dan mereka tidak anggap PKR penting. Mungkin bagi anggapan mereka Anwar dan PKR sudah hilang daya tarikan dan sokongan rakyat.

“Kita tidak boleh marah-marah pada mereka. Kita pun faham peribahasa Melayu, ‘habis madu sepah dibuang’. Begitulah nasib PKR dan presidennya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hassan, hasrat diluahkan pemimpin Amanah dan DAP yang mahu bergabung dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) juga menunjukkan PKR semakin tersisih.

“Kita dengar juga pemimpin muda Amanah yang hendak jemput Pejuang, Muda dan Warisan menyertai khemah PH. Mereka tidak yakin lagi pada kekuatan dan pemimpin PKR.

“Kita masih dengar lagi gagasan beberapa pemimpin PH dalam kalangan DAP dan Amanah masih mahu PH bergabung dengan (Tun) Dr. Mahathir Mohamad. Mereka sengaja hendak melemahkan PKR dan Anwar,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hassan menasihati PKR agar bertanding secara solo sekiranya perlu dalam PRU-15 akan datang.

“Kepada anggota dan penyokong setia PKR, kita binalah kekuatan parti kita sendiri. Orang luar boleh desak Anwar letak jawatan sebagai Pengerusi PH atau Ketua Pembangkang.

“Kalau itu kehendak mereka, buanglah Anwar sebagai Pengerusi PH atau Ketua Pembangkang. Lepas itu buanglah PKR dari PH. Kita hendak tengok adakah mereka berani.

“Kalau mereka sudah tidak sudi menerima kita, apa yang kita boleh buat. Kita masuklah PRU-15 nanti secara ‘solo’. Kita gunakan logo parti kita sendiri. Kalau mereka hendak terajang PKR dari PH, terajanglah jika mereka sudah angkuh sangat. Bersedialah kemungkinan ini,” tegasnya.

Pada PRN Melaka, PKR tewas kesemua 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi parti itu bersama PH yang turut menyaksikan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron turut tumbang di Asahan selepas diberi ruang dicalonkan bawah tiket PKR.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya turut tewas di DUN Paya Rumput.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *