Oleh RAHIMI MOHAMAD
KABINET akan membuat keputusan sama ada terdapat kenaikan atau sebaliknya membabitkan kos pelaksanaan ibadah haji bagi musim akan datang pada Januari 2022 susulan peningkatan kos semasa serta Cukai Nilai Tambah (VAT) diperkenalkan Arab Saudi naik 15 peratus.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, taklimat daripada Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung perkara berkenaan akan dijadualkan pada minggu hadapan.
Idris berkata, beliau akan membawa perincian taklimat TH itu ke mesyuarat Jemaah Menteri seterusnya bagi mencapai keputusan muktamad.
“Setakat ini, kita tidak dapat sahkan sama ada kos akan naik atau tidak, kita akan bincang dulu. Kos umrah pun dilaporkan sudah bertambah lebih RM2,000 sedangkan umrah itu hanya dilakukan 10 hari sahaja,” katanya selepas merasmikan Program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), di sini hari ini.
Kerajaan baru-baru ini menjangkakan kos mengerjakan haji meningkat sehingga 50 peratus kepada lebih RM30,000 berbanding RM23,000 sebelum ini susulan VAT Arab Saudi naik 15 peratus berbanding lima peratus sebelumnya.
Justeru, kata Idris, kerajaan akan mengambil kira soal kepentingan pendeposit dan kebajikan bakal jemaah haji terutama golongan B40, bagi mencapai keputusan situasi menang-menang dalam membuat keputusan muktamad berhubung isu kos haji.
“TH tidak boleh mengambil tindakan berat sebelah dan juga isytihar langkah populis. Seelok-eloknya kita perlu realistik,” katanya ketika ditanya cadangan supaya subsidi bersasar diberikan kepada bakal jemaah B40.
Beliau berkata, perkara itu perlu dibincangkan bersama pengurusan TH yang bertanggungjawab sebagai operator pengurusan haji negara.
Malah, katanya setiap tahun TH juga membuka peluang kepada mana-mana jemaah haji yang tidak mahu mengambil subsidi kos haji, namun tidak ramai yang menyahut peluang itu.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan masih menunggu keputusan rasmi Arab Saudi berhubung penetapan kuota haji yang mungkin mengambil masa disebabkan Riyadh perlu memikirkan soal prosedur operasi standard (SOP), logistik dan sebagainya yang dijalankan mengikut norma baharu.
Kata Idris, turut menjadi pertimbangan adalah pengesanan varian baharu, Omicron yang dikesan baru-baru ini kerana berupaya untuk berjangkit kepada orang ramai.
“Wallahualam, kita masih belum pasti sama ada varian baharu itu ada merisikokan kita dengan pelaksanaan ibadah haji yang diperketatkan. Ketua Pegawai Eksekutif TH yang pulang dari sana maklumkan Arab Saudi belum buat sebarang keputusan. Saya amat berharap varian baharu itu tidak melibatkan negara kita,” katanya.
Sementara itu, Idris berkata pihaknya belum memutuskan soal keputusan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membenarkan wanita mendaftar haji untuk musim lalu tanpa mahram yang akan ditentukan Penasihat Syariah TH kelak.
Leave a Reply