POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) bagi menyiasat dan menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, unit itu akan berpusat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan bakal dianggotai seramai 50 anggota polis termasuk pegawai.
Jelas beliau, Unit WCB itu akan menggunakan kepakaran yang ada dalam pasukan polis untuk membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menumpaskan sindiket yang mempunyai rangkaian penyeludupan hidupan liar.
“Unit ini akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan kertas kerja mengenai penubuhannya juga telah pun siap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang akhbar Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Batu Feringghi, Pulau Pinang hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.
Menurut Mazlan, polis akan menggunakan undang-undang sedia ada seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) untuk menyita aset-aset yang dimiliki sindiket rangkaian penyeludupan hidupan liar.
Leave a Reply