MARA memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi membantu usahawan Bumiputera luar bandar di Sabah yang menceburi bidang keusahawanan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jumlah tersebut akan disalurkan kepada 500 usahawan melalui Mara daerah di wilayah itu.
“Tumpuan kita adalah bagaimana memperkukuhkan usahawan-usahawan Bumiputera luar bandar melalui pejabat-pejabat daerah Mara.
‘’Mara juga ada bazar, lot-lot kedai dan Arked Mara yang diberikan sewa kepada usahawan-usahawan Bumiputera,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kondominium Signal Hill yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Jelas Mahdzir, selain aspek pendidikan, Mara dan KPLB juga memberi penekanan khusus kepada agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera di luar bandar.
“Mara adalah satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang sangat mengambil inisiatif kepada program agenda keusahawanan bumiputera selain daripada pendidikan TVET,” kata Mahdzir.
*Kekurangan pelajar punca KPTM Semporna ditutup
Sementara itu, beliau memaklumkan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) cawangan Semporna yang ditutup mulai tahun depan berpunca daripada kekurangan kemasukan pelajar yang berterusan.
Katanya, walaupun Mara adalah agensi kerajaan, namun KPTM Semporna terpaksa menanggung semua operasinya sendiri.
“Kita sebenarnya serba salah juga mengenai isu ini kerana ia adalah tempat pelajar-pelajar bumiputera belajar, namun kita terpaksa melihat perkara ini (penutupan) ekoran tidak mencukupi sasaran pelajar. Kapasiti KPTM Semporna ini mempunyai kapasiti 600 orang namun sekarang kita hanya memiliki 169 pelajar sahaja,’’ katanya.
Selain itu menurut Mahdzir, KPTM juga tidak mempunyai peruntukan dari kerajaan dan perlu membayar sendiri gaji kakitangan termasuk tenaga pengajarnya yang membabitkan kos operasi yang tinggi.
Ditanya mengenai status pelajar yang masih berada di KPTM Semporna, beliau menjelaskan, penuntut sedia ada akan menamatkan pengajian secara berperingkat.
Leave a Reply