Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KERAJAAN wajar membuat kajian dan pertimbangan sebaik-baiknya sebelum berunding semula untuk menyambung semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang sebelum ini telahpun ditamatkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, rundingan itu perlu memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua negara apatah lagi Malaysia sudah membayar pampasan RM320.27 juta kepada Singapura bagi kos pembatalan projek HSR pada tahun ini.
Jelasnya, jumlah pampasan yang dibayar itu terlalu besar malah dalam masa tidak sampai setahun dan pada masa sama perlu dibawa perbincangan ke peringkat Kabinet sama ada terdapat keperluan untuk HSR disambung semula atau ditangguhkan untuk sementara.
“Walaupun cadangan untuk menyambung semula projek HSR disuarakan Malaysia menerusi Perdana Menteri dan disambut baik Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, kita tidak perlu terlalu gopoh dalam hal ini.
“Selain Kabinet, mungkin pandangan rakyat juga perlu diambil kira kerana peruntukan untuk menyambung semula projek HSR bukan sedikit. Pelbagai isu timbul sebelum ini berkenaan HSR.
“Misalnya isu pampasan yang kita bayar kepada Singapura sebelum ini besar jumlahnya sedangkan projek HSR lebih tertumpu di kawasan dan membabitkan landasan di Malaysia tetapi negara ini pula yang harus memberi ganti rugi. Kita perlu bijak dalam hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga barang di Pasar Basah Kipmall Masai, Pasir Gudang, hari ini.
Semalam, Hsien Loong menerusi sidang akhbar sempena sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena
pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara berkata, republik itu terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek HSR yang sebelum ini kedua-dua telahpun bersetuju untuk menamatkan projek tersebut.
Hsien Loong berkata, Kementerian Pengangkutan dari kedua-dua negara akan membincangkan perkara tersebut dan Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia.
“Perdana Menteri mencadangkan perbincangan mengenai HSL dihidupkan semula dan saya menjawab bahawa Singapura dan Malaysia telah mencapai persetujuan sebelum ini untuk menamatkan projek HSR dan ini telah diselesaikan secara baik,” kata Hsien Long.
Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, memang tidak dinafikan projek berimpak tinggi itu memberi banyak manfaat termasuk peluang pekerjaan dan ekonomi melalui jajaran yang akan dilaluinya namun kesesuaian atau keutamaannya perlu difikirkan.
Katanya, sama ada HSR itu mengikut perancangan asal atau mengikut cadangan disambung sehingga Thailand, semua itu perlu dibawa ke Parlimen untuk dibincangkan.
Leave a Reply