Ketua-ketua sindiket penyeludupan haiwan liar dalam radar polis

SERAMAI 127 pemburu haram berjaya ditahan sepanjang tahun ini menerusi 11 siri Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di seluruh negara.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 69 kertas siasatan telah dibuka dan 293 jerat hidupan telah dimusnahkan di lapangan sepanjang tempoh tersebut.

Jelas beliau, sebanyak RM31.86 juta nilai sitaan juga berjaya dilakukan tahun ini iaitu paling besar berbanding dua tahun lalu iaitu sebanyak RM4.25 juta.

“Kejayaan ini adalah adalah hasil OBK yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi lain antaranya PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar  Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Batu Feringghi, Pulau Pinang hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

Dalam pada itu, Abdul Kadir memberi jaminan ketua-ketua sindiket penyeludupan haiwan liar di negara ini kini berada dalam radar dan pemantauan pihaknya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ujar beliau, pihaknya mendapati ketua-ketua sindiket itu yang masih gagal ditahan setakat ini hanya berjumlah kurang daripada 10 orang.

“Begitupun kita yakin mereka dapat ditahan dengan kerjasama daripada pihak polis dan JKDM,” katanya.

Jelas beliau, hidupan liar seperti tenggiling merupakan antara haiwan yang sering diseludup masuk ke negara ini yang mana dua tan haiwan berkenaan berjaya dirampas pihaknya tahun lalu.

Tambahnya, pihaknya mendapati Malaysia menjadi transit penyeludupan bagi beberapa hidupan liar terutama tenggiling yang dibawa masuk dari Indonesia sebelum diseludup menerusi jalan udara dan laut ke beberapa negara khususnya Vietnam dan China.

“Selain itu, negara kita juga menjadi tumpuan pemburu haram untuk mencuri beberapa spesis burung antaranya spesis murai batu untuk diseludup ke luar negara kerana mendapat permintaan yang tinggi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *